الخميس، رمضان ١٧، ١٤٢٦

Lelaki pelindung wanita makin kurang bhg 1



DALAM hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan berleluasa, wanita semakin ramai dan lelaki [qowwamun] semakin kurang sehingga 50 wanita hanya dilindungi seorang lelaki”. (Bukhari dan Muslim) Ia adalah satu topik menarik yang selalu dibincangkan dalam pelbagai forum kebapaan iaitu seolah-olah kini nilai kelelakian semakin pupus sama ada dari segi mahupun tanggungjawab. Mengapakah fenomena ini terjadi, apakah puncanya, dan bagaimanakah langkah terbaik untuk mengatasinya? Mungkin ramai yang beranggapan ia membawa maksud bertambahnya bilangan ‘lelaki lembut’ yang meniru gaya hidup wanita, seperti yang pernah dibincangkan di akhbar tempatan suatu masa dahulu, atau semakin kurangnya bilangan lelaki di dunia pada masa ini.
Pada hakikatnya yang dimaksudkan ialah kurangnya lelaki yang menjalankan peranan mereka sebagai lelaki seperti yang diperintahkan Allah di dalam al-Quran iaitu lelaki sebagai ‘qowwamun’ (pelindung) kepada wanita. Allah berfirman di dalam
surah an Nisa’ ayat 34:
Yang bermaksud: Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (kaum lelaki) atas sebahagian yang lain (kaum wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.
Lelaki mendapat dua bahagian lebih daripada kaum wanita dalam pembahagian harta pusaka, lelaki dikehendaki membayar mahar apabila berkahwin, lelaki dikehendaki menggauli isterinya dengan baik, lelaki juga diizinkan berpoligami hingga 4 orang isteri dengan syarat mampu berlaku adil. Mengapakah lelaki diberi kelebihan oleh Allah daripada wanita dalam banyak perkara? Jawapannya ialah kerana lelaki itu memimpin perempuan, bukan perempuan memimpin lelaki dan tidak pula sama kedudukannya.
Lelaki memimpin wanita bukan sahaja berlaku pada manusia, bahkan pada haiwan. Lihatlah bagaimana haiwan jantan memimpin yang betina. Jika ada sekumpulan itik jantan dan betina maka itik jantan yang memimpin berpuluh-puluh itik yang mengiringinya dan begitulah seterusnya.
Maksud hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang daripada wanita dan yang lebih parah, 50 wanita hanya dijaga seorang lelaki.
Merujuk kepada matan hadis itu, Rasulullah juga menggunakan perkataan ‘qowwamun’ yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita dan baginda tidak menggunakan perkataan ‘ar-rijal’ yang membawa makna lelaki di dalam bahasa Arab. Maksudnya, golongan lelaki yang menjaga wanita semakin sedikit bilangannya pada hari ini.
Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita, sebaliknya mengeksploitasi, merogol dan menjadikan mereka sebagai alat melepaskan nafsu.
Lihatlah laporan yang selalu dipaparkan di media cetak dan elektronik mengenai moral atau akhlak masyarakat kita, khususnya orang Melayu Islam yang semakin hari semakin tenat.
Peningkatan kes rogol, sumbang mahram, bunuh, samun, ragut wanita, dera isteri, anak dan pembantu rumah, jelas menunjukkan betapa hilangnya nilai serta peranan ramai lelaki di negara ini. Fenomena ini bukanlah merujuk kepada hilangnya sifat kelelakian kerana mereka bertukar jantina, tetapi disebabkan tidak menjalankan tugas sebagai lelaki yang sebenarnya sebagai pelindung kepada wanita, seperti yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis nabi.
Jika seseorang lelaki itu mempunyai sifat pelindung maka dia akan melihat wanita sebagai kelompok insan yang memerlukan perlindungan, dihormati, dijaga maruah mereka, tidak dikasari, tidak diekspolitasi, apatah lagi diperlakukan sesuka hati seumpama barang mainan. Pendek kata jika masyarakat mempunyai ramai lelaki pelindung, kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.
Dalam kehidupan berkeluarga, masyarakat amat memerlukan lelaki bersifat pelindung. Mereka tidak akan malas di rumah dan membiarkan isteri dan anak sahaja membanting tulang setiap hari. Selain itu mereka tidak akan memukul atau mendera sama ada isteri mahupun anak, tidak menengking, tidak mengherdik, tidak memaki, mencaci dan mencarut kepada isteri dan ahli keluarganya. Lelaki pelindung juga tidak akan menggadaikan maruah anak dan isterinya walau sesulit manapun masalah yang dihadapinya. Sayangnya lelaki pelindung semakin pupus bilangannya dalam masyarakat hari ini

ليست هناك تعليقات: