الجمعة، أكتوبر ١٤، ٢٠٠٥

Kuda oh kuda


Assalamualaikum

Saya teringat satu kisah yang selalu terlintas di minda saya ketika saya dalam keadaan moody. Kisah yang diceritakan oleh seorang guru tahfiz semasa saya sedang belajar di Maahad Muhammadi Lil Banin. Ketika itu saya naik ke tingkat atas masjid sekolah untuk menunaikan solat sunat witir setelah bertarawih secara berjemaah.

Beliau bercerita,

Seorang budak berjumpa dengan seorang hartawan yang mempunyai banyak kuda. Dia momohon untuk berkerja dengan hartawan itu sebagai pengembala kudanya. Setelah terbukti budak itu bersungguh-sungguh ingin menjaga kuda-kudanya, maka si hartawan itu memberikan beberapa ekor kuda kepada budak itu untuk dijaga.

Budak itu menjaga kuda-kuda tuannya di sebuah padang rumput yang luas, sesuai dengan sifat kuda yang suka bebas dan suka meragut rumput. Budak pengembala tadi tertidur seketika lalu larilah kuda-kuda jagaanya. Yang tinggal hanya seekor sahaja. Maka bersedihlah budak itu. Mesti si hartawan pemilik kuda-kuda itu akan marah kepadanya dan memecatnya dari menjadi pengembala.

Persoalannya sekarang, adakah si hartawan itu akan memaafkan budak tadi diatas kehilangan kuda-kudanya? dan adakah dia akan membenarkan budak itu terus menjadi pengembala? Budak itu merayu-rayu agar tidak dipecat dan dihalau. Lalu si hartawan itu berkata " Engkau ingin menjaga kuda-kuda lagi aku tetapi engkau membiarkan kuda kuda yang aku berikan kepada engkau lari, bagaimana aku nak percayakan engkau lagi. disebabkan engkau bersungguh-sungguh untuk menjaga mereka, maka aku berikan engkau satu syarat, selagi engkau tidak menjumpai kuda-kuda yang hilang itu, selagi itulah aku tidak akan menerima engkau sebagai pekerja aku."

Inilah kisah yang diceritakan oleh ustaz berkenaan, dia mengaitkan cerita diatas dengan kehidupan orang-orang yang menghafaz Al-Quran. Allah berikan kita
peluang untuk menghafaz Al-Quran tatapi kita terlupa apa yang dihafaz. Adakah Allah akan izinkan kita meneruskan hafazan kita sedangkan banyak yang telah dihafaz telahpun kita tinggalkan dan melupakannya.

Saya bandingkan pengajaran ini dengan diri saya. Saya telah menghafaz berbelas-belas juzu'Al-Quran, tatapi saya lupa juzu'-juzu' yang awal. Memang betul saya berasa semakin sukar untuk meneruskan hafazan baru saya. Terasa malas, pening kepada berserabut dan susah untuk ingat ayat-ayat baru. tahulah saya bahawa Allah menghalang saya dari terus menghafaz Al-quran selagi saya tidak cuba untuk mengingat balik ayat-ayat dan juzu' yang telah saya lupakan.

ليست هناك تعليقات: